• News
  • UniSZA Raih Kejayaan di Korea

UniSZA Raih Kejayaan di Korea

UniSZA terus membuktikan keunggulan di persada antarabangsa apabila memperoleh kejayaan yang cemerlang di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2016. Penyertaan kali kedua UniSZA ke SIIF selepas kali pertama menyertainya pada tahun 2013 menyaksikan pencapaian yang membanggakan berjaya dilakar kontinjen UniSZA. Program yang berlangsung pada 1 hingga 4 Disember 2016 bertempat di Dewan Pameran COEX, Seoul, Korea Selatan ini telah berjaya menghadiahkan kejayaan buat UniSZA apabila kesemua enam (6) produk yang mengambil bahagian berjaya membawa pulang pingat dengan 1 pingat emas, 2 pingat perak dan 3 pingat gangsa.


Pameran yang berlangsung selama empat (4) hari ini dianjurkan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA). Penglibatan dalam pameran ini amat penting kerana ia akan membuka peluang kepada para pencipta untuk berkolaborasi dan saling bertukar idea serta pandangan bagi penyelidikan dan inovasi yang akan dilaksanakan pada masa hadapan. Penyertaan ke program seumpama ini juga dapat memberi ruang kepada pencipta untuk mendedahkan ciptaan mereka sekaligus menjadi batu ukuran terhadap pencapaian mereka dalam bidang yang mereka ceburi.


Pemenang pingat emas UniSZA adalah Encik Mohd Hosni Rifin dari Fakulti Reka Bentuk Inovatif & Teknologi (FRIT) yang mempertaruhkan Protorch iaitu beg untuk pengguna basikal dengan ciri – ciri keselamatan yang unik. Produk ini telah berjaya menarik minat juri memandangkan produk ini dapat memberi keselamatan yang optimum kepada pengguna basikal sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan di kalangan pengguna basikal.


Pemenang pingat perak pula adalah Prof. Madya Dr. Azizah Endut dari ESERI yang mempertandingkan produk MorElla: A Potential Natural Feed Supplement for Fish Larvae, makanan tambahan kepada anak ikan yang diperbuat daripada bahan semulajadi dan Encik Azrul Amri Jamal dari FIK yang mempertandingkan produk iVER- Intelligent Unmanned Aerial Vehicle for Emergency Response, dron pemantau bencana alam dengan tetapan sistem pintar.


Pingat gangsa berjaya diraih Dr. Ho Lee Hoon dari FBIM yang mempertandingkan produk MacroLYTE, snek makanan yang dapat memberi tenaga tambahan kepada pengguna dan Encik Zammeri Abd Rahman dari FRIT yang mempertandingkan produk Structural Analysis of 3-Axis CNC Miling Machine, mesin gerudi bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran dengan kos yang paling minimum. Produk ciptaan Prof. Madya Dr. Hafizan Juahir, iBoat: Intelligent Autonomous Boat for Water Sampling iaitu bot bersaiz mini yang digunakan untuk mengukur kualiti air di sesuatu kawasan turut berjaya meraih pingat gangsa bagi melengkapkan kejayaan 100% buat kontinjen UniSZA.


Sekalung tahniah kepada para penyelidik dan urusetia UniSZA yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penyertaan UniSZA di program SIIF 2016.

 

q