• News
  • UniSZA Terus Gah di ITEX 2015

UniSZA Terus Gah di ITEX 2015

Penyertaan UniSZA ke 26th International Invention & Innovation Exhibition (ITEX) 2015 terus membuahkan hasil yang membanggakan. Pameran yang berlangsung pada 21 hingga 23 Mei 2015 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur ini telah berjaya memartabatkan nama UniSZA apabila kesemua penyertaan UniSZA berjaya memenangi pingat. Sebanyak empat (4) pingat emas dan enam (6) pingat perak telah berjaya diraih penyelidik UniSZA pada pameran ini.

DSC 0356


Pameran yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan P. Panchanathan, Timbalan Menteri Pendidikan II. Turut hadir pada pameran ini adalah Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr. Yahaya bin Ibrahim yang diiringi oleh Timbalan Naib Canselor UniSZA (Penyelidikan dan Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman serta pengunjung yang terdiri daripada pelawat industri, institusi berkaitan serta pelajar universiti dan sekolah. Kehadiran Naib Canselor UniSZA yang datang memberi sokongan telah menyemarakkan semangat penyelidik UniSZA untuk memberikan yang terbaik dan terus berjaya pada masa hadapan.

DSC 0205


Pameran yang dianjurkan oleh Malaysian Invention & Design Society (MINDS) dan C.I.S Network Sdn. Bhd. ini amat penting kerana ia membuka peluang kepada para pencipta untuk berkolaborasi dan saling bertukar idea serta pandangan bagi penyelidikan dan inovasi yang akan dilaksanakan pada masa hadapan. Menurut Timbalan Naib Canselor UniSZA (Penyelidikan dan Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, usaha penyelidikan dan inovasi akan terus dipergiatkan lagi bagi meningkatkan jumlah produk inovasi yang bermutu serta berpotensi untuk dikomersilkan bagi keselesaan dan kesenangan manusia sejagat pada masa hadapan. Usaha ini dapat direalisasikan dengan pengenalan geran Pre-Comm yang dapat membantu penyelidik mengkomersilkan produk inovasi mereka.

DSC 0215


Pemenang pingat emas UniSZA adalah Dr. Syadiah Nor Wan Shamsuddin dari Fakulti Informatik & Komputeran yang mempertaruhkan produk i-Dyslex iaitu perisian komputer yang dapat mengesan penyakit disleksia dalam kalangan kanak-kanak. Pemenang pingat emas yang seterusnya adalah Puan Norkhairani Abdul Rawi juga dari Fakulti Informatik & Komputeran yang mempertandingkan produk FIQIR Road Safety, perisian komputer yang mendidik murid-murid sekolah rendah mengenai keselamatan jalan raya. Turut memenangi pingat emas adalah Puan Syarilla Iryani dari Fakulti Informatik & Komputeran yang mengetengahkan produk Tajweed Race, permainan komputer yang secara tidak langsung, mengajar hukum tajwid dalam bacaan Al-Quran. Prof. Madya Dr. Mustafa Dakian dari Fakulti Ekonomi & Sains Pengurusan turut menyumbang pingat emas buat UniSZA menerusi produk Si Buncit, sebuah kisah yang dapat membantu golongan buta huruf dalam mengenal huruf Al-Quran.


Pingat perak UniSZA diperolehi menerusi produk Aquaplant Crate iaitu hiasan dalaman rumah yang menerapkan unsur-unsur semulajadi rekaan Encik Amirul Fahmi Razali; produk IMB: In Situ Microalgae Bio Harvesting Module iaitu sistem penuaian mikroalga yang dapat membantu industri akuakultur; produk Low Cost 3 Axis CNC Miling Machine iaitu mesin ukiran yang menggunakan bahan kitar semula sebagai komponen utama; produk Protorch iaitu beg galas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan; produk LAFAMS: Account Management System for Small and Medium Sizes Legal Firm iaitu perisian komputer yang memantau aktiviti kewangan firma guaman; dan Course Learning Outcomes Performances Evaluation System (CLOPES) iaitu perisian komputer yang membantu pensyarah dalam penilaian pembelajaran kursus.


Sekalung tahniah kepada para penyelidik dan urusetia UniSZA yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penyertaan UniSZA di pameran ITEX 2015.

Bil.

Nama penyelidik

Fakulti

Nama produk

Pingat

 1

Dr. Syadiah Nor Wan Shamsuddin

FIK

i-Dyslex

Emas

 2

Norkhairani Abdul Rawi

FIK

FIQIR Road Safety

Emas

3

Syarilla Iryani Ahmad Saany

FIK

Tajweed Race Online

Emas

 4

Prof. Madya Dr. Hj. Mustafa Dakian

FESP

Si Buncit

Emas

 5

Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas

FLAIR

“LAFAMS” Account Management System for Small

and Medium Sizes Legal Firm

Perak

 6

Prof. Madya Dr. Saiful Bahri Mohamed

FSTK

A Low Cost 3 Axis CNC Milling Machine

Perak

 7

Mohd Hosni Rifin

FSTK

Protorch

Perak

 8

Amirul Fahmi Razali

FSTK

Aquaplant Crate

Perak

 9

Prof. Madya Dr. Azizah Endut

ESERI

IMB: In-Situ Microalgae Bio-Harvesting Module

Perak

 10

Azwa Abdul Aziz

FIK

Course Learning Outcomes Performances Evaluation System (CLOPES)

Perak