UniSZA Pamer Peningkatan di MTE 2015

Penyertaan kali kedua UniSZA ke Malaysia Technology Expo (MTE) 2015 telah berjaya menampakkan peningkatan dan hasil yang membanggakan. Pameran yang berlangsung pada 12 hingga 14 Februari 2015 bertempat di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur ini telah berjaya mengatasi rekod pencapaian pada tahun lalu apabila kontinjen UniSZA telah berjaya memenangi dua (2) pingat emas dan satu (1) anugerah khas pada tahun ini berbanding hanya satu (1) pingat emas pada tahun 2014. Sebanyak 11 produk UniSZA telah dipertandingkan dalam dua (2) kategori iaitu Invention and Innovation Award dan Malaysia International Design Award.

Pameran yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah dirasmikan oleh Dato' Norhalim Yunus, CEO Malaysia Technology Development Corporation. Beliau turut berkesempatan meluangkan masa bagi melawat booth UniSZA dan menunjukkan minat terhadap produk inovasi UniSZA. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor UniSZA (Penyelidikan dan Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman serta pengunjung yang terdiri daripada pelawat industri, institusi berkaitan serta pelajar universiti dan sekolah.

Pameran ini telah dianjurkan oleh Malaysian Association of Research Scientists (MARS) dan PROTEMP Exhibition and Conferences Sdn. Bhd. Penglibatan dalam pameran ini amat penting kerana merupakan platform bagi mempromosikan kepentingan rekabentuk industri yang akan memberi kelebihan dan kesenangan kepada pemain industri yang berkaitan dengan penciptaan sesuatu produk.

Pemenang pingat emas UniSZA Encik Shahrul Anuwar Mohamed Yusof dari Fakulti Seni Reka & Teknologi Kejuruteraan yang mempertaruhkan Kona Table iaitu meja yang dibina dengan rekaan unik. Turut memenangi pingat emas adalah Puan Nor Ziratul Akma Norzaman juga dari Fakulti Seni Reka & Teknologi Kejuruteraan yang mempertandingkan rekaan bungkusan kain songket yang dapat memelihara ketahanan songket. Rekaan tersebut turut dianugerahkan Best Design Award daripada Japan Intellectual Property Association (JIPA).

Selain itu, UniSZA turut berjaya memenangi 2 pingat perak menerusi produk Houseplant Bucket iaitu hiasan dalaman rumah yang menerapkan unsur-unsur semulajadi rekaan Encik Amirul Fahmi Razali; dan produk Mousonic iaitu kerusi bagi kegunaan tempat rekreasi yang bertindak sebagai alat menghalau tikus sebagai fungsi tambahan rekaan Puan Nor Ziratul Akma Norzaman.

Pingat gangsa pula dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Saiful Bahri Mohamed yang mempertandingkan produk Smart Electronic Water Level Control (SEWLC); sistem tangki air yang menggunakan litar elektronik sebagai pengesan. Turut memenangi pingat gangsa adalah Prof. Dr. Lua Pei Lin dengan produk Animated Epilepsy Educational Video (AnEEV); video pembelajaran dan pengajaran mengenai penyakit sawan serta Puan Shazila Shahidan, menerusi produk CalVitA Chocolate iaitu coklat yang menggunakan tulang ikan sebagai sumber protein dan labu.

Sekalung tahniah kepada para penyelidik dan urusetia UniSZA yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penyertaan UniSZA di pameran MTE 2015.

Maklumat lanjut berkenaan produk adalah seperti berikut;

Bil. 
Nama penyelidik 
Fakulti 
Nama produk 
Kategori
 
Pingat
 
  1

Nor Ziratul Akma Norzaman

  FSTK Preserving Songket through Sustainable Packaging Design MIDEAS 

Emas

dan Anugerah Best Design Award dari Japan Intellectual Property Association (JIPA)

  2 Shahrul Anuwar Mohamed Yusof   FSTK Kona Table MIDEAS Emas
  3 Amirul Fahmi Razali   FSTK Houseplants Bucket MIDEAS Perak
  4 Nor Ziratul Akma Norzaman   FSTK Mousonic MIDEAS Perak
  5 Prof. Dr. Lua Pei Lin   FSK AnEEV IIA Gangsa
  6 Norshazila Shahidan   FBIM CalVitA Chocolate IIA Gangsa
  7 Prof. Madya Dr. Saiful Bahri Mohamed   FSTK Smart Electronic Water Level Control (SEWLC) IIA Gangsa
  8 Addy Putra Md Zulkifli   FSTK Choezone+ MIDEAS Gangsa