• News
  • CRIM Lawat Ladang UniSZA Tinjau Peluang Pengkomersilan

CRIM Lawat Ladang UniSZA Tinjau Peluang Pengkomersilan

3 Disember 2014, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Inovasi), Dr. Khamsah Suryati Mohd bersama tiga Pegawai Penyelidik Sosial telah melakukan satu tinjauan di ladang UniSZA di Kampus Tembila dan Pasir Akar, Besut Terengganu. Lawatan ini turut disertai oleh Dr. Abdul Jamil bin Zakaria, Pengarah AGROPOLIS dan Pegawai Pertanian Fakulti Sumberbio dan Industri Makanan, En. Mohd Rohaizad bin Md. Rejab. Ianya bertujuan untuk melihat sendiri kebolehpasaran produk tanaman ladang dan ternakan UniSZA bagi tujuan pengkomersilan.

Tinjauan mendapati, ladang yang berkeluasan dua setengah hektar di kampus Tembila ini dipenuhi dengan tanaman seperti labu dan jagung. Menurut Pengarah AGROPOLIS, Dr Abdul Jamil bin Zakaria tanaman ini ditanam oleh para pelajar Tahun 1 dan tahun akhir bagi Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Pertanian dengan Kepujian. Tanaman ini mengambil masa selama tiga bulan sebelum proses pengutipan hasil dapat dilakukan. Menurut Dr. Abdul Jamil, proses tanaman jagung dan labu ini menggunakan baja kompos tinja ayam dan tinja kambing, selain daripada penggunaan baja NPK dalam kuantiti yang seimbang.

Selain itu, tinjauan CRIM di Ladang Pasir Akar Besut, Terengganu mendapati terdapat kira-kira 180 ekor kambing termasuk spesies Boer diternak di ladang ini. Kambing di ladang ternakan ini diberi makan pellet selain daripada rumput Napier. CRIM juga dimaklumkan bahawa lembu juga akan diternak di ladang ini dalam masa terdekat.

Hasil daripada tinjauan, dua produk pengkomersilan telah didaftarkan iaitu projek penternakan kambing dan projek penternakan itik sekati. CRIM mendapati terdapat beberapa projek lagi berpotensi untuk dikomersilkan. CRIM akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu untuk memajukan lagi pembangunan ladang serta meningkatkan aktiviti pengkomersilan di UniSZA.