ITEX 2012

    Kuala Lumpur, 19 Mei – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus melakar kejayaan yang sangat bermakna menerusi penyertaan buat kali pertama dalam International Invention, Innovation Industrial Design and Technology Exhibition (ITEX). UniSZA telah menghantar empat (4) produk bagi menyertai ITEX ke 23, 2012 dan Asian Young Inventor Exhibition (AYIE) 2012 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Mei 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan berjaya memperolehi pingat bagi semua produk tersebut iaitu satu (1) pingat perak dan tiga (3) pingat gangsa.

    Pingat perak disumbangkan melalui produk mobile epilepsy educational system (MEES) for people with epilepsy hasil penyelidikan Dr. Lua Pei Lin, Neni Widiasmoro Selamat dan Syaiful Hisyam Saleh daripada Pusat Kajian Klinikal dan Kualiti Hidup.

    Tiga pingat gangsa pula disumbangkan oleh para penyelidik daripada Fakulti Informatik melalui produk Iqra' IT, i-Interview dan E-Masjid. Iqra' IT adalah hasil penyelidikan Suhailan Safei, Wan Mohd Rizhan Wan Idris, Mat Atar Mat Amin dan Ahmad Nazari Mohd Rose, i-Interview dihasilkan oleh Suhailan Safei, Fadhilah Ahmad, Engku Fadzli Hasan, Syarifah Nurulhusna Syed Mohd Taha dan Fatimah Ghazali manakala E-Masjid pula hasil penyelidikan Mohd Kamir Yusof, Mohd Nordin Abdul Rahman dan Mat Atar Mat Amin.

    ITEX 2012 telah mendapat penyertaan hampir 1000 produk dari dalam dan luar negara yang melibatkan sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan juga swasta.

    Diharapkan dengan perolehan pingat dalam pameran ini menjadi pemangkin kepada para penyelidik untuk terus mengharumkan nama UniSZA melalui penyelidikan yang dijalankan.