Seminar FBIM

    LAPORAN MENYERTAI PAMERAN 'MALAYSIA INTERNATIONAL COMMODITY CONFERENCE & SHOWCASE (MICCOS 2013)

    Universiti Sultan Zainal Abidin melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) dan Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan sentiasa memberi dorongan kepada para pensyarahnya untuk menjalankan penyelidikan sebagai sebahagian daripada kegiatan akademik. Hasil atau dapatan kajian yang dijalankan merupakan satu input penting dalam konteks perkembangan sesuatu bidang ilmu pengetahuan seterusnya dapat pula menyumbang kepada sektor industri komoditi dan pengkomersilan.

    Jemputan daripada pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi menyertai pameran ini sangatlah dihargai. Bagi sebuah institusi pendidikan seperti UniSZA, dapatan kajian berkaitan semestinya menjadi lebih bermakna jika ianya dapat didedahkan kepada pengetahuan ramai melalui penyertaan MICCOS 2013 yang merupakan acara perdana bagi industri komoditi negara. Sebelas hasil penyelidikan fakulti di bawah dana kerajaan negeri Terengganu (Program Penyelidikan Gadong) yang berupaya untuk dikomersilkan diketengahkan dalam acara dwitahunan tersebut yang menemukan penggiat utama sektor komoditi meliputi pekebun kecil, pengilang, usahawan, pengeksport dan agensi-agensi serta industri yang bertanggungjawab dalam pembangunan sektor komoditi Negara. Penyertaan ini bukan sahaja dapat mempamerkan hasil ciptaan dan inovasi program penyelidikan, ia seterusnya dapat mempromosi serta mengkomersilkannya.

    Pameran yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi pada 26 Oktober 2013. Booth UniSZA merekodkan hampir 500 orang pengunjung dari pelbagai latar belakang. Ini termasuklah para petani dan peladang, usahawantani, pembekal baja dan racun pertanian, serta dari syarikat pembuatan mesin. Delegasi UniSZA diketuai oleh Prof Madya Dr Nashriyah Mat sebagai Ketua Delegasi, 10 orang staf (dan pembantu penyelidik) fakulti PBSM mempamerkan hasil penyelidikan daripada 11 projek penyelidikan ubi Gadong yang dijalankan di bawah dana penyelidikan Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan.

    Dalam kalangan pengunjung ini, terdapat beberapa syarikat yang berminat untuk bekerjasama dengan UniSZA dalam meningkatkan hasil dan kualiti tumbuhan ini sebagai tanaman berskala besar (komersil) dan juga dalam mengeluarkan mesin hasil rekaan penyelidik UniSZA untuk dikomersilkan. Selain itu, hasil interaksi dengan para pengunjung mendapati pengunjung lebih berminat kepada hasil produk berbentuk produk hiliran seperti tepung, makanan (biskut, kerepek, kek dan sebagainya). Terdapat juga sumbangan idea dan perkongsian pengalaman daripada syarikat yang hadir dalam menjayakan lagi usaha penanaman ubi gadong bagi tujuan pengkomersilan. Justeru, produk hasil ubi gadong dijangka mampu untuk dijana penghasilannya sebagai komoditi negara.

    41

    42

    43