Seminar FKI

MAKLUMAT PENGANJURAN SEMINAR DAN PERSIDANGAN PENYELIDIKAN (2010-2014)

FAKULTI PENGAJIAN KONTEMPORARI ISLAM


NAMA PROGRAM : Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari 2013 (ISLAC 2013)
TARIKH PROGRAM : 30 November 2013 – 1 Disember 2013

Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari 2013 (ISLAC 2013) merupakan kesinambungan daripada Seminar Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari 2011 dan juga syarahan-syarahan akademik yang telah dianjurkan oleh Jabatan Syariah dalam usaha memartabatkan perundangan Islam. Penganjuran Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari 2013 (ISLAC 2013) adalah wahana bagi mewacanakan perundangan Islam dari pelbagai dimensi. Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei dan Universiti Yarmuk, Jordan ini adalah bertujuan untuk merancakkan sumber-sumber penyelidikan berkaitan perundangan Islam, mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian terhadap isu-isu kontemporari global yang berkaitan kewangan, perbankan Islam, pengurusan harta, jatidiri, kekeluargaan, jenayah, pemuliharaan alam sekitar dan pentadbiran melalui pendekatan yang dianjurkan Islam, mengenengahkan objektif disebalik perundangan Islam yang dinamik kepada masyarakat umum dalam usaha meningkatkan literasi, kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap perundangan Islam dan memperkenalkan UniSZA di mata dunia sebagai institusi yang menawarkan multi-disiplin dalam usaha merekayasa ilmu, menggalakkan penyelidikan yang berkualiti dan menghargai kepelbagaian disiplin bagi manfaat manusiawi.

 

 

NAMA PROGRAM : Seminar Antarabangsa Al-Quran Dalam Masyarakat Kontemporari (SQ2012)
TARIKH PROGRAM : 01 Disember 2012 – 02 Disember 2012

Seminar al-Quran (SQ) merupakan seminar dwi tahunan anjuran Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI). Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari (SQ2012) merupakan siri ketiga yang dianjurkan oleh pihak FKI. SQ2012 ini merupakan kesinambungan daripada Seminar Antarabangsa Qiraat dan Qurra' (SQ2010) yang bertemakan "Ilmu Qiraat dan Qurra' Menjana Keilmuan Islam", dan Seminar al-Quran dan Pembentukan Umah Cemerlang (SQ2008) yang bertemakan "al-Quran Membentuk Ummah Cemerlang". Seminar ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu kontemporari menurut al-Quran sebagai bukti ketinggian fungsinya dan kerelevanannya sebagai rujukan berautoriti dan autentik bagi segenap aspek kehidupan manusia, selari dengan niche Fakulti Pengajian Kontemporari Islam dan menonjolkan keunikan al-Quran sebagai tonggak transformasi dalam masyarakat kontemporari. Seminar telah dihadiri seramai 400 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, golongan professional khususnya Ahli Akademik, Para Imam, Institut Tahfiz, Jabatan, Para Penyelidik, Para Guru, Para Pelajar, dan Masyarakat Awam. Seminar ini adalah anjuran bersama World of Islamic Sciences and Education University (WISE), Jordan dan Kerajaan Negeri Terengganu.

 

 

 

NAMA PROGRAM : Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari 2011 (ISLAC 2011)
TARIKH PROGRAM : 18 November 2011 – 19 November 2011

Seminar ini bertujuan untuk merancakkan sumber-sumber penyelidikan berkaitan perundangan Islam, mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap isu-isu kontemporari berkaitan kekeluargaan, kewangan, harta, jenayah dan pentadbiran melalui pendekatan yang dianjurkan Islam, menonjolkan objektif disebalik perundangan Islam yang dinamik kepada masyarakat umum dalam usaha meningkatkan literasi, kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap perundangan Islam. Disamping memperkenalkan UniSZA sebagai institusi yang menawarkan pengajian multi-disiplin menggalakkan penyelidikan yang berkualiti dan menghargai kepelbagaian disiplin bagi manfaat manusiawi. Seminar telah disertai oleh golongan profesional, ahli akademik, Para Imam/Ulama, Pengamal Undang-undang, Jabatan, Badan/Institusi kerajaan dan swasta, Penyelidik, Pengkaji, Pelajar, dan Masyarakat Awam. Tema Seminar ini ialah " Perundangan Islam Menjamin Kemaslahatan Masyarakat Kontemporari" dan antara sub temanya ialah Maqasid syariah dalam perundangan Islam, kajian pendalilan hukum dalam isu kontemporari, pentadbiran undang-undang Islam, kewangan dan perbankan Islam, pengurusan harta Islam, undang-undang jenayah Islam, Islam dan gender, kekeluargaan Islam, konflik perundangan dan isu-isu dalam perubatan.

16

 

 

NAMA PROGRAM : Seminar Antarabangsa Qiraat Dan Qurra' (SQ2010 )
TARIKH PROGRAM : 29-30 Oktober 2010

Seminar Antarabangsa Qiraat dan Qurra' (SQ2010) merupakan kesinambungan daripada Seminar Al-Quran dan Pembentukan Ummah Cemerlang (SQ2008) yang bertemakan "al-Quran Membentuk Ummah Cemerlang". Objektif seminar ini adalah untuk menonjolkan kemukjizatan al-Quran dari segi kepelbagaian Qiraatnya kepada masyarakat antarabangsa, memberi pendedahan kepada peserta untuk mengenali tokoh-tokoh ilmuwan Qiraat lampau agar menjadi inspirasi kepada generasi Islam masa kini, memasyarakatkan ilmu Qiraat supaya keindahan dan keunikan al-Quran dapat dikuasai oleh semua lapisan masyarakat, mengenengahkan ilmu Qiraat sebagai cabang ilmu yang penting dalam memahami al-Quran dan memperkenalkan UniSZA sebagai institusi perintis yang akan menawarkan program ijazah dalam bidang qiraat. Tema Seminar ialah "Ilmu Qiraat Dan Qurra' Menjana Keilmuan Islam". Seramai 300 orang peserta telah hadir penyertaan dibuka kepada Golongan Profesional khususnya ahli akademik, Para Imam/Ulama/Qari, Institut Tahfiz/Pondok, Jabatan/Badan/Institusi Kerajaan dan Swasta, Para Penyelidik/Pengkaji, Para Guru J-QAF/KAFA/Iqra', Para Pelajar dan Masyarakat awam. Seminar ini adalah anjuran bersama JAKIM, Kerajaan Negeri Terengganu, dan Institut al-Quran Terengganu.

17

Print